Ulama yang diriwayatkan ini adalah keturunan Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari bin Haji Muhammad Afif bin Haji Anang Mahmud bin Haji
Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad
al-Banjari. Jalur keturunan yang menyentuh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari,
ulama dunia Melayu yang sangat terkenal, ialah bahwa ibunya bernama Shafura
binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As’ad. Ibu Mufti Haji
Muhammad As’ad bernama Syarifah binti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, yaitu
daripada perkahwinan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Bajut.
Dari jalur yang lain pula bahwa ibu Muhammad Afif bernama
Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu
daripada perkahwinan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat.
Berdasarkan catatannya sendiri yang penulis peroleh daripada keturunan beliau
di Sapat dan Tembilahan, Indragiri Hilir (1982) bahawa Haji Abdur Rahman
Shiddiq lahir bulan Rabiulakhir, malam Khamis, sebelum Subuh, 1284
Hijrah/Agustus 1867 Masehi. Penulis tidak sependapat dengan
beberapa orang penulis yang menyebut bahwa Tuan Surgi Haji Abdur Rahman Shiddiq
lahir pada tahun 1857 Masihi. Mengenainya barangkali satu kekeliruan
menyesuaikan tahun 1284 Hijrah atau 1288 Hijrah ke tahun Masehi saja. Bahwa
1284 Hijrah bukan bersamaan dengan tahun 1857 Masihi tetapi yang betul ialah
tahun 1867 Masihi. Catatan tambahan yang dilakukan oleh anaknya bahwa beliau
wafat pada hari Senin, jam 5.40, 4 Sya’ban 1358 Hijrah/18 September 1939
Masihi, dalam usia 70 tahun.
PENDIDIKAN
Pendidikan dasarnya beliau diperoleh dari lingkungan
keluarga Ulama Banjar yang ada hubungan dengan beliau. Baik kepada kedua-dua
orang tuanya, maupun Abdur Rahman Shiddiq sendiri berhasrat untuk memperoleh
ilmu yang banyak di Tanah Suci Mekah, namun beliau menempuh jalan yang
berliku-liku. Tuan Haji Abdur Rahman Shiddiq banyak memperoleh ilmu di alam
terbuka, bumi dipijak, langit dijunjung di beberapa tempat yang dirantaunya.
Mulai Banjar berlayar ke Jawa, ke Sumatera, sambil berlayar, di rantau orang
mengajar dan berusaha untuk memperoleh biaya untuk sampai ke Tanah Suci Mekah.
Perjuangannya adalah suci untuk memperoleh ilmu
memartabatkan Islam, semangatnya adalah teguh kukuh tidak akan terabai dan
tergugahkan. Sempat belajar dengan beberapa orang ulama di Padang, sambil
berdagang emas dan perak di Padang. Beliau juga merantau ke daerah Tapanuli.
Pernah mengajar kitab Sabilul Muhtadin, karangan Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari, datuk neneknya di Barus dan Natal di daerah Tapanuli. Berdasarkan
catatan Tuan Haji Abdur Rahman Shiddiq bahwa dalam musim haji tahun 1306 Hijrah
yang bererti bersamaan dengan Julai 1889 Masehi barulah cita-cita Tuan Haji
Abdur Rahman Shiddiq sampai ke Mekah, dan tinggal di sana hingga tahun 1312
Hijrah/1894 Masihi. Oleh sebab Haji Abdur Rahman Shiddiq sampai di Mekah pada
tahun tersebut di atas dinyatakan oleh beliau sendiri, maka penulis tidak
sependapat dengan kenyataan Imran Effendy Hs dalam buku Pemikiran Akhlak Syekh
Abdurrahman Shiddiq al-Banjari, halaman 16, 18 dan 63 yang menyebut bahawa Haji
Abdur Rahman Shiddiq berangkat ke Mekah pada 1882/3 Masihi.
Catatan tulisan tangan Haji Abdur Rahman Shiddiq penulis
miliki sejak tahun 1982 di Sapat daripada salah seorang keturunan beliau. Dalam
catatan itu jelas bahwa sejak dilahirkan, catatannya berada di Padang pada 10
Zulhijjah 1305 Hijrah/18 Agustus 1888 Masihi, bahwa beliau bernama Abdur Rahman
Shiddiq. Oleh sebab catatannya ditulis jauh sebelum beliau berada di Mekah,
maka penulis juga tidak sependapat dengan buku di atas (halaman 18) yang
menyebut bahawa gelar `Shiddiq’ diberikan oleh gurunya, al-Syata (maksudnya
Sayid Abu Bakri asy-Syatha) di Mekah.Sewaktu belajar di Mekah, beliau
bersahabat dengan beberapa orang, di antara mereka ialah Tuan Husein Kedah
al-Banjari, keturunan Banjar yang dilahirkan di Kedah ini (lahir 1280
Hijrah/1863 Masihi) usianya lebih tua beberapa tahun daripada Haji Abdur Rahman
(lahir 1288 Hijrah/1871 Masihi).
Sahabatnya yang lain ialah Haji Abdullah Fahim (lahir 1286
Hijrah/1869 Masihi), Tok Kenali (lahir 1287 Hijrah/1871 Masihi) dan yang lain
lainnyai. Mengenai guru-guru yang mengajar di Masjid al-Haram pada zaman itu
telah banyak disebut pada edisi yang lalu, oleh itu tidak perlu dibicarakan
lagi.
AKTIVITIAS
Sudah cukup jelas dan tidak perlu diragukan bahwa Tuan Haji Abdur Rahman
Shiddiq pulang dari Mekah ialah tahun 1312 Hijrah/1894 Masihi. Oleh itu
pendapat Imran Effendy Hs dalam bukunya (halaman 20) yang menyebut Haji Abdur
Rahman Shiddiq pulang dari Mekah pada tahun 1890/1 dan pendapat Syafei Abdullah
dalam bukunya Riwayat Hidup dan Perjuangan Ulama Syeikh H.A. Rahman Shiddiq,
Mufti Inderagiri, menyebut tahun 1897 Masihi penulis tidak sependapat dan perlu
penelitian yang lebih luas lagi.
Pulang dari Mekah terus ke Martapura, kemudian pindah ke
Bangka dilanjutkan pengembaraan di seluruh Semenanjung menziarahi
teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beberapa sultan, di antaranya sultan
Johor meminta beliau menjadi mufti , semuanya beliau tolak. Akhirnya Syeikh
Haji Abdur Rahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang kemudian diberi
nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Di sanalah beliau membina umat membuka
pengajian sistem pondok. Dalam masa kejayaannya membuka perkampungan untuk
perkebunan kelapa dan pengajian itulah Syeikh Haji Abdur Rahman Shiddiq
dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri.
PENULISAN
Karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang
telah ditemui penulis diantaranya sebagai berikut:
1.Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320 Hijrah.
Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba’
Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai
Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327 Hijrah. Cetakan selanjutnya oleh
Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 Hijrah/1929 Masihi
(cetakan ketiga).
2.Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324 Hijrah.
Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap.
Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347
Hijrah/8 Januari 1929 Masihi.
3.Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan
pada 20 Syaaban 1324 Hijrah. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang
dipetik daripada Majmu’ karangan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah
al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324 H.
4.Risalah Amal Ma’rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri,
8 Rabiulawal 1332 Hijrah. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan
tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344 Hijrah oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah,
50 Minto Road, Singapura.
5.Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah
1332 Hijrah. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam
bentuk syair. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9
Syaaban 1344 Hijrah.
6.Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam,
diselesaikan 1 Safar 1334 Hijrah. Kandungannya merupakan pelajaran fardu ain
untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan
Sultan, Singapura, 1348 Hijrah/1929 Masihi.
7.Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16
Rabiulawal 1338 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru
oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq,
Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405 Masihi. Diterbitkan
daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.
8.Syajaratul Arsyadiyah, diselesai- kan tgl. 12 Syawal 1350
Hijrah. Kandungannya membicarakan asal - usul Syeikh Muhammad Arsyad
bin Abdullah al-Banjari dan keturunan - keturunannya. Cetakan pertama oleh
Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.
9.Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar
1351 Hijrah. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai
kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan,
Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh
pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil
Muntazhar (55 halaman) karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
10. Mau’izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan
5 Rejab 1355 Hijrah. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan
yang pertama oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355
Hijrah.
11. Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi
as-Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh
selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah
diucapkan oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh
Mathba’ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun
cetakan.12. Majmu’ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama’ wal
Muta’allimin wal Mustami’in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.
Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya
dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan,
Singapura, 1346 Hijrah/1927 Masihi.13. Catatan, tanpa tarikh, ditulis dalam
bahasa Arab dan Melayu.
Kandungannya merupakan beberapa catatan Syeikh Abdur Rahman
Shiddiq mulai lahir malam Khamis, sebelum Subuh 1288 Hijrah/ Jun/Julai 1871
Masihi. Wafat hari Isnin, jam 5.40, pada 4 Syaaban 1358 Hijrah/18 September
1939 Masihi, dalam usia 70 tahun. Tahun 1306 Hijrah beliau ke Mekah. Tinggal di
sana hingga tahun 1312 Hijrah. Selain itu terdapat catatan kelahiran dan wafat
anak-anaknya dan lain-lain.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar